Hari ni che kak nak cerita pasal nasi ayam. Semua kenal nasi ayam walaupun pelbagai resepi, versi, petua, rasa dan macam-macam la. Che kak kenal 2 jenis je nasi ayam. Nasi ayam sedap dan tidak sedap. Hahaha.

First time che kak masak nasi ayam masa che kak mengandung anak sulung tahun 2003. Entah sedap entah tidak. Main hentam je labuuu..

Lepas tu dah bertahun tak masak. Renyah sangat nak masak. Apabila anak dah berderet, anak-anak lebih suka request nasi ayam kat kafe TESCO Kota Bharu. Sedap sangat la kot nasi ayam kat sana.

Apabila dah kenal pakcik google, maka pelbagai resepi nasi ayam che kak cuba. Cuba dan cuba dan cuba. Tapi masih belum jumpa resepi yang betul-betul rasa sedap di tekak sendiri dan anak-anak serta suami.

Che kak faham rasa sedap ni terlalu unik. Kadang-kadang kita rasa sedap , orang lain rasa tak sedap dan begitulah sebaliknya.

Sehinggalah che kak cuba 1 resepi nasi ayam sedap. Eh memang sedap la. Anak-anak dan suami suka sangat. Bertambah-tambah makan. Suami yang tak pernah puji, pun terpuji-pujian pulak. Haha. Nasib baik dapat control lubang hidung yang kembang bagaikan bunga ros nak kembang.

Hampir setiap minggu suami dan anak-anak request nasi ayam. Dah lama tak minta makan nasi ayam TESCO.

Tapi ingat, sedap bagi che kak, belum tentu sedap bagi uols. Bagi che kak, asalkan suami dan anak-anak suka pun tak pe dah.

Dulu rasa renyah, sekarang rasa mudah je.

Nanti che kak share resepi yang che kak tambah baik juga ikut selera che kak. Che kak lupa resepi siapa. Lupa nak kredit kat penulis asal. Terima kasih banyak-banyak kepada penulis resepi asal walaupun che kak ubahsuai sikit.



 RESEPI NASI AYAM
-----------------
A: BAHAN UNTUK NASI
1. Beras 4 cawan
2. Daun pandan 2 helai
3. Halia 2 cm untuk hirisan 6 cm untuk kisar lumat
4. Bawang putih 1 labu
5. 1/2 kiub ayam
6. Sedikit serbuk kunyit untuk warna kuning
7. Mentega@marjerin 2 sudu besar
8. Bawang besar 1 labu potong bulat
9. Garam dan gula
10. Air rebusan ayam
11. Minyak untuk menumis (option)
12. Susu pekat 1 sudu besar rata
13. Rempah 4 sekawan (kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga)


CARA BUAT
1. Tumis mentega@marjerin.
2. Masukkan daun pandan, rempah 4 sekawan dan bawang mayang bulat. (kalau daun pandan takde che kak ganti dengan  serai ketuk).
3. Masukkan hirisan halia. Masak hingga bau harum.
4. Masukkan halia & bawang putih yang telah dikisar lumat.
5. Masukkan air rebusan ayam.
6. Masukkan garam, gula, kiub ayam, serbuk kunyit dan susu pekat. Che kak masukkan juga 1 sudu serbuk susu kambing MIKKAE sebagai ganti resepi asal letak 2 sudu susu cair.
7. Masak hingga menggelegak. Rasa sedap ke tidak. Kalau sedap, ok la. Tutup api dapur.
8. Akhir sekali masukkan beras (basuh beras terlebih dahulu) dan masukkan air rebusan ayam. Jangan lupa tekan butang on tau.

B. KUAH SUP
1. Air rebusan ayam
2. Sedikit halia dalam 1 cm
3. 3 ulas bawang putih
4. 1/2 kiub ayam
5. Garam, gula, serbuk perasa. (Che kak tak masukkan serbuk perasa sebab suami tak suka ajinomoto)
6. Daun sup dan daun bawang
7. Bawang besar 1 labu dipotong bujur.


C. REBUSAN AYAM
Rebus ayam hingga empuk. Letakkan halia yang diketuk. Air rebusan masak lebih untuk nasi dan kuah sup.

D. AYAM GORENG
Che kak suka perap ayam rebus dengan kicap cair dan minyak bijan.  Goreng ayam yang telah diperap. Kadang-kadang guna kicap lemak masin cap kipas udang. Bila sejuk potong ayam mengikut saiz yang disukai. Hias ayam dengan salad, timun dan buah tomato.

E. SOS CILI
Bahan untuk sos cili.
1. 5 biji lada merah.
2. 1@2 biji tomato.
3. Sedikit air rebusan ayam
4. Garam, cuka dan gula
5. Seulas bawang putih

Cara buat sos
1. Kisar lada bersama halia, tomato, bawang putih, garam, gula, cuka, air rebusan ayam.

F. SAMBAL KICAP
Untuk sambal kicap, che kak guna aje kicap perap ayam. Jangan buang kicap perap ayam. Che kak tambah seulas bawang putih tumbuk dan kicap manis cap kipas udang.

Selamat mencuba. Lain orang lain cara masak nasi ayam. Yang penting anak-anak dan suami suka. Kalau orang lain suka, itu adalah bonus.

Rebus ayam bersama halia yang diketuk


Panaskan mentega, tumis 4 rempah sekawan, bawang besar, hirisan halia, serai@daun pandan

Masukkan halia dan bawang putih yang dimesin lumat, kiub pati ayam, garam, gula, susu, serbuk kunyit, sedikit air rebusan ayam


Masukkan dalam beras yang telah dibasuh dan air rebusan ayam. Che kak guna beras siam. Air memang kena banyak dan lebih daripada beras biasa


Semerbak bau nasi ayam yang dah masak


Perap ayam rebus dengan kicap cair@kicap lemak masin bersama minyak bijan



Ayam siap digoreng. Hias dengan daun salad, timun dan tomato yang dihiris

Lada merah, tomato, cuka, gula, garam, bawang putih dan air rebusan ayam diblender



Siap sambal lada. Kalau cair, boleh masak sekejap kasi pekat

Kicap perap ayam. Boleh digunakan untuk sambal kicap ayam. Campur bawang putih seulas dan kicap lemak manis. Nak pedas, boleh tambah cili. Anak-anak tak makan pedas. 


Air rebusan ayam, campur bawang besar dihiris, daun sup dan daun bawang, bawang putih, kiub pati ayam, gula, garam



0 Comments