PENGENALAN

Istikharah Cinta : "Cinta yang diminta dalam istikharah lalu hadir sebagai takdir."

Zahra tidak pernah menyangka satu mimpi sebelum Subuh akan mengubah seluruh perjalanan hidupnya. Dalam mimpi itu, dia melihat seorang lelaki yang tidak dikenalinya menunggang motosikal Honda Cub di hadapan bank kampus. Wajahnya samar namun hatinya yakin mimpi itu membawa sesuatu yang istimewa. Buat pertama kali dalam hidup, Zahra menunaikan solat istikharah dan berdoa agar Allah mendekatkan jodohnya jika benar lelaki itu ditakdirkan untuknya.

Keesokan harinya, lelaki yang sama muncul di hadapan matanya. Daripada sebuah perkenalan yang sederhana lahirlah sebuah kisah cinta yang penuh ujian. Salah faham, perpisahan, jarak, kesempitan hidup dan penantian menguji kesetiaan mereka. Namun di sebalik setiap air mata dan kekecewaan, Zahra terus berpaut pada doa dan keyakinannya kepada takdir Allah.

Azman bukan lelaki yang pandai bermadah cinta. Tidak pernah menghadiahkan bunga, tidak pandai melafazkan kata romantik. Namun melalui kesetiaan, tanggungjawab dan pengorbanannya, dia mengajar Zahra bahawa cinta sebenar bukan pada kata-kata tetapi pada perbuatan.

Bersama-sama mereka membina kehidupan daripada sebuah rumah sewa sederhana, membesarkan anak-anak, menempuh dugaan keluarga dan menghadapi pahit manis sebuah perkahwinan.

Apakah benar mimpi itu sekadar kebetulan? Adakah ia petunjuk bahawa cinta yang dipohon dalam istikharah akan sentiasa menemukan jalannya kepada takdir? Sebuah kisah diadaptasi dari kisah benar tentang cinta, kesabaran, doa dan jodoh yang telah tertulis sejak awal lagi.

https://myebook.com.my/books/f58f3370-3cf6-460d-a25e-81757c428d8a




0 Comments