Namun apa yang diterimanya hari itu benar-benar merobek maruahnya sebagai 

seorang ibu. Kata-kata pegawai yang menguruskan permohonannya masih jelas terngiang-ngiang di telinga. 

“Ramai lagi orang susah daripada awak. Muda lagi, boleh kerja. Jangan terlalu  bergantung pada bantuan.” 

Nada suara itu dingin. Tajam. Langsung tiada simpati. Seolah-olah dia sengaja memilih untuk hidup susah. Sedangkan jika diberi pilihan, dia juga mahu hidup senang seperti orang lain. 

“Bukan aku minta hidup susah…” 

Suara Alia perlahan tenggelam bersama tangisan yang akhirnya pecah juga malam itu. Dia segera menekup mulut agar esaknya tidak mengejutkan anak-anak. 

Alia masih mempunyai ibu bapa dan adik-beradik. Namun sejak dia memilih untuk berkahwin dengan Faizal, hubungan itu perlahan-lahan retak sebelum akhirnya terputus begitu sahaja. 

Faizal bukan lelaki berharta. Dia datang daripada kehidupan yang serba kekurangan. Sejak kecil dia sebatang kara, menumpang kasih pada nenek tua yang hidup dalam kesusahan. Namun kemiskinan itu tidak pernah menjadikan Faizal seorang lelaki malas. Dia bekerja keras siang dan malam demi memastikan isteri dan anak-anaknya tidak pernah kelaparan. 

Walaupun hidup mereka sederhana, anak-anak tetap ke sekolah dengan wang saku di tangan. Tidak pernah sekali Faizal membiarkan keluarganya meminta-minta pada 

orang lain. Namun di mata ibu Alia, semua itu tidak pernah cukup. Baginya, kemiskinan Faizal adalah aib. Dia malu bermenantukan lelaki yang tidak punya harta dan kedudukan. Restu yang diharapkan Alia tidak pernah benar-benar hadir. 

https://myebook.com.my/books/aa470a0b-25f8-4838-9411-f954cd84b48c



0 Comments