Fasa Baru Dari Rumah ke Rumah Penginapan


Selesai sudah fasa tambah baik rumah, cat baru, kemas sana sini, tambah apa yang patut. Lega rasa bila tengok rumah dah mula nampak berseri. 


Kali ini, che kak nak cerita pula tentang fasa seterusnya iaitu proses menjadikan rumah ini sebagai Rumah Penginapan Abe Long.


Fuhh… kalau ikut drama, dah macam telenovela Indonesia pula panjangnya jalan cerita ni. Ada bab membeli rumah, ada bab tambah baik rumah dan sekarang masuk bab lesen perniagaan pula.


Setiap fasa ada cabarannya sendiri, tapi alhamdulillah che kak anggap semua ini pengalaman berharga. 


Kenapa Nama Rumah Penginapan Abe Long?


Mungkin orang tertanya-tanya, kenapa che kak pilih nama Rumah Penginapan Abe Long dan bukannya guna nama sendiri, nama glamor atau sekadar panggil homestay?


Sebenarnya, cerita ini bermula secara tak dirancang. Pada mulanya che kak sekadar singgah ke pejabat SSM hanya untuk bertanya tentang prosedur pendaftaran homestay. 


Kebetulan pula dekat dengan tempat makan, jadi singgahlah ditemani sahabat baik yang selalu jadi jurubahasa che kak.


Tak sangka pula prosesnya mudah dan cepat. Staf di sana pun sangat mesra, senang diajak berbicara mudoh baso bak kato oghe Kelate. Semuanya dibuat secara online sahaja. Che kak cuma serahkan IC dan staf terus tolong isikan maklumat pendaftaran.


Masa nak pilih nama perniagaan, che kak jadi serba salah. Blur sekejap sebab segan kalau ambil masa lama sangat nak fikir. Jadi che kak tanya staf SSM tentang kesesuaian nama untuk homestay.


Rupanya, ada beza antara Homestay dan Rumah Penginapan.


Kalau daftar sebagai Homestay, ia tertakluk kepada MOTAC.


Kalau Rumah Penginapan, cukup sekadar kelulusan PBT.


Dari situlah tercetus nama Rumah Penginapan Abe Long.


Kenapa Abe Long?

Sebab kawasan rumah ini orang lebih mengenali sebagai rumah Abe Long, bukan nama sebenar beliau. Malah, dalam group WhatsApp kampung pun bila ada berita kematian yang berdekatan dengan rumah, orang selalu jadikan rumah Abe Long sebagai penanda arah. Senang orang nak cari.


Lebih daripada itu, nama ini juga tanda penghargaan che kak kepada Abe Long. Selama ini, banyak pengorbanan beliau untuk che kak, bahkan segala urusan rumah ini pun beliau yang banyak uruskan. 


Sebenarnya, Abe Long pernah berminat dengan rumah ini, cuma masa itu bukan rezekinya kerana rumah sudah dijual pada orang lain.


Jadi, bila tiba masa daftar nama, spontan sahaja keluar nama Rumah Penginapan Abe Long.

Bukan sekadar nama, tapi ada cerita, kenangan dan pengorbanan di sebaliknya.


Buat masa ini, Rumah Penginapan Abe Long masih belum dapat beroperasi sepenuhnya kerana ada beberapa perkara lagi yang perlu disiapkan.


Insya Allah, nanti che kak cerita pula tentang pengalaman memohon lesen dengan PBT ya.


#RumahPenginapanAbeLongKetereh





0 Comments